Flash

Wednesday, 4 November 2015

Kajian Tindakan

Tajuk Kajian: Keberkesanan Laluan PPDa Dalam Memberi Maklumat Mengenai Pendidikan Pencegahan Dadah Dalam Kalangan Pelajar, Guru Dan Kakitangan SMK Gum Gum Sandakan.



Kajian ini dilaksanakan untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci mengenai keberkesanan Laluan PPda yang dibina di SMK Gum Gum. Pembinaan Laluan PPDa ini sudah pasti memerlukan komitmen daripada semua pihak bagi merealisasikannya. Semua ini adalah untuk memberi kesedaran kepada warga sekolah agar memilih jalan yang betul untuk menjalani kehidupan mendatang dan tidak terjebak dengan penyalahgunaan najis dadah.

















Tuesday, 3 November 2015

SMK Gum Gum Wakili Sabah - Utusan Borneo


Hari ini dalam sejarah. Berita SMK Gum Gum wakili Sabah dalam pertandingan PPDa peringkat kebangsaan telah tercatat di dalam akhbar Utusan Borneo, ulasan oleh Yusop Teppo.

Di antara petikan akhbar tersebut adalah kata-kata yang diucapkan oleh Tuan Pengetua bahawa pelaksanaan program PPDa adalah untuk melahirkan pelajar bebas dadah melalui program PPDa yang bersepadu dan menyeluruh daripada aspek pengurusan dan kepimpinan, kokurikulum dan pembangunan sahsiah.



Taman Bebas DARIH - Siap Sepenuhnya

Dengan kerjasama semua pihak, Taman Bebas DARIH siap sepenuhnya untuk digunakan oleh para pelajar sama ada untuk bersantai atau mencari maklumat berkaitan DARIH (Dadah, Alkohol, Rokok, Inhalan dan HIV/AIDS).







Taman Bebas DARIH - Peringkat 1 (Proses Pembinaan)


Taman Bebas DARIH merupakan salah satu projek khas pelaksanaan Program Pencegahan Dadah (PPDa) SMK Gum Gum. Taman tersebut berfungsi sebagai tempat untuk pelajar mendapat maklumat dan informasi berkaitan D.A.R.I.H (Dadah, Alkohol, Rokok, Inhalan Dan HIV/Aids). Taman Bebas DARIH juga dijadikan sebagai tempat rehat atau kawasan santai untuk para pelajar.

Taman Bebas DARIH ini diwujudkan dengan kerjasama semua warga sekolah, bermula daripada tuan Pengetua, pentadbir, guru-guru, akp sehinggalah para pekerja pembersihan. Taman ini juga diwujudkan dengan kerjasama para pelajar dan komuniti setempat.










Saturday, 31 October 2015

Lawatan Murid-Murid SK Seri Manis Ke Laluan PPDa SMK Gum Gum


Tanggal 30 Oktober 2015, seramai 48 orang murid SK Seri Manis telah membuat lawatan ke Laluan PPDa SMK Gum Gum untuk melihat dan menambah pengetahuan tentang keburukan dadah. Murid-murid tersebut diiringi oleh 7 orang guru.

Murid-murid tersebut dibahagi kepada dua kumpulan untuk dibawa melihat suasana sekolah, terutamanya di Laluan PPDa. Kumpulan pertama diiringi oleh tiga orang pelajar tingkatan empat SMK Gum Gum merangkap AJK Unit PPDa, iaitu Mohd Rozaidi Rosli, Razzi Karim dan Mohd Rashrizal Rosli.

Manakala kumpulan kedua pula diiringi oleh dua orang pelajar tingkatan empat SMK Gum Gum, iaitu Manisah Awang Kechil dan Zira Mustika. Lawatan tersebut diakhiri dengan jamuan untuk murid-murid dan guru pengiring SK Seri Manis.

Diharapkan dengan lawatan ini, murid-murid tersebut dapat mengambil iktibar dan pedoman serta menambah ilmu pengetahuan berkaitan dadah supaya misi kerajaan untuk melahirkan pelajar bebas dadah dapat dilaksanakan.





Kunjungan Mesra YB Datuk Haji Zakaria Bin Haji Mohd Edris

 
Pada 29 Oktober 2015, YB Datuk Haji Zakaria bin Haji Mohd Edris, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Merangkap ADUN N41 Gum Gum telah membuat lawatan ke Laluan Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) SMK Gum Gum, Sandakan.

Lawatan tersebut bertujuan untuk meninjau dan melihat persediaan yang telah dilakukan oleh guru-guru dan pelajar di laluan tersebut. Hal ini kerana laluan PPDa SMK Gum Gum telah terpilih untuk mewakili Negeri Sabah dalam Pertandingan Laluan Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) Peringkat Kebangsaan 2015.

Pada hari tersebut juga, YB Datuk Haji Zakaria bin Haji Mohd Edris telah bermurah hati untuk memberi sumbangan dan dana kepada Laluan PPDa SMK Gum Gum, Sandakan. Beliau juga turut diiringi oleh Yang Di Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Gum Gum, iaitu En. Jamaidin bin Asim

Diharapkan dengan lawatan YB Datuk Haji Zakaria bin Haji Mohd Edris ini, dapatlah pihak sekolah terutamanya Unit PPDa menambah pembaikan di Laluan PPDa SMK Gum Gum.









Lawatan Pegawai Perhubungan Polis Ke Laluan PPDa


Pada 29 Oktober 2015, dua orang pegawai perhubungan polis, iaitu ISP Yusman dan SM Lim Su Lai telah membuat lawatan ke sekolah. Lawatan tersebut bertujuan untuk berbincang secara dua hala berkaitan disiplin, keselamatan sekolah dan lain-lain perkara yang memerlukan bantuan pihak polis.

Di kesempatan itu juga, ISP Yusman dan SM Lim Su Lai turut meluangkan masa untuk melawat serta meninjau persekitaran Laluan PPDa SMK Gum Gum yang telah terpilih untuk mewakili Negeri Sabah dalam Pertandingan Laluan Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) Peringkat Kebangsaan 2015.

Diharapkan dengan lawatan ISP Yusman dan SM Lim Su Lai tersebut, dapatlah pihak sekolah terutamanya Unit PPDa menambah pembaikan di Laluan PPDa SMK Gum Gum.








Thursday, 29 October 2015

Perasmian Buletin PPDa SMK Gum Gum


Pada tanggal 20 Ogos 2015 telah berlangsung pelancaran perasmian Buletin PPDa SMK Gum Gum. Majlis tersebut dimeriahkan dengan Gimik Pelancaran oleh guru-guru yang telah banyak memberi sumbangan idea dan tenaga untuk laluan PPDa, iaitu Tn. Hj. Mohd Khairul Anuar bin Abdullah, Pn. Sittie binti Masang, Pn. Rubaya binti Awaluddin dan En. Suriansah bin Rusmanan. Perasmian ini dikelolakan oleh Cik Nagajothi Poliah bersama Badan Pengawas dan dihadiri oleh para guru dan pelajar SMK Gum Gum.

Seterusnya, Tuan Pengetua merasmikan pelancaran tersebut dengan paluan gong serta memberi amanat tentang kesan-kesan negatif pengambilan dadah kepada para pelajar.

Amanat Tuan Pengetua itu bersesuaian dengan tujuan penerbitan Buletin PPDa SMK Gum Gum, iaitu menyebarkan maklumat dan info-info terkini mengenai dadah, alkohol, rokok, inhalan dan HIV (D.A.R.I.H.) kepada para pelajar. Hal ini supaya para pelajar dapat menghindarkan diri mereka daripada terlibat dengan gejala negatif ini.

Semoga dengan penerbitan buletin ini, para pelajar dapat menambahkan pengetahuan untuk diaplikasikan di dalam kehidupan seharian mereka. Tahniah diucapkan kepada En. Suriansah bin Rusmanan selaku Guru Media PPDa Peringkat SMK Gum Gum dengan penerbitan buletin ini.

Tuan Pengetua memukul gong sebagai tanda perasmian buletin PPDa.
Amanat yang disampaikan oleh Tuan Pengetua.
Cikgu Sittie selaku guru PPDa ketika gimik pelancaran buletin PPDa.
Cikgu Rubaya yang bertindak sebagai tulang belakang kepada Cikgu Sittie.
Cikgu Suriansah guru yang bertanggungjawab menerbitkan buletin PPDa.